20.12.13

Fungsi seorang isteri

Apakah kelasakan seorang isteri boleh menjejaskan kelembutannya?

Ada masanya suami perlukan sentuhan isteri tetapi isteri pula terlalu sibuk dengan kerja-kerja rumah dan pejabat. Isteri yang sudah terbiasa berdikari tak perlukan pertolongan suami, memang isteri yang hebat. Tetapi ada masanya isteri terlupa keghairahannya menguruskan keluarga boleh menjejaskan kemesraan bersama suami. Ada isteri yang tetap fokus pada gadgetnya walaupun suami pulang, isteri yang tak jawab telefon suami kerana sibuk membersihkan rumah, isteri yang tak hiraukan keperluan suami kerana uruskan anak-anak. Walaupun suami redha, jika ia untuk kebaikan keluarga tetapi dalam hati mesti rasa terpinggir, rasa tak dicintai, rasa tak dipedulikan, rasa tak penting!
 
Apatah lagi jika isteri lebih memilih kawan-kawan dan sanak saudaranya daripada menemani suami. Wanita yang bekerja ataupun suri rumah, jika mereka tak pandai menjaga masa dan membahagi prioriti kerja tentu akan mendapat masalah dalam perhubungan. Pangkat dan gaji besar tidak sesekali merubah diri anda dalam rumah, anda tetap isteri yang fungsinya memberi ketenangan di hati suami.
 
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.” (Surah Al-Ruum: 21)
 
Rasa tidak dipedulikan pasangan bukan hanya menimpa suami saja, isteri pun sama merasainya. Oleh itu tak payahlah nak menuding jari siapa yang salah. Jika hari ini isteri yang salah, suami kena ingatkan dan begitu juga kalau besok suami silap, eloklah jika isteri pula yang menegur. Biasanya jika kita tengok wajah pasangan berubah, kita sudah tahu apa yang terasa di hatinya.
 
Kalau dulu isteri sempat memotongkan kuku suami sekarang nak salam dan cium tangan pun tak sempat lagi. Dulu setianya dia mengurut kaki suami yang letih, sekarang pula dia terlalu letih dengan kerenah anak. Isteri berubah kasar, tak halus lagi kata-katanya seperti dulu. Anak, kerjaya dan tanggungjawab di luar rumah merubah perangai isteri sedikit demi sedikit. Dia cepat marah, cepat merajuk dan kecil hati, suka menyalahkan suami akhirnya sibuk dengan stres membuatnya hilang fokus pada pasangan. Sifat-sifat manja isteri semakin terhakis, suasana hangat dan romantik pun jarang-jarang hadir.
 
Perubahan apa yang perlu dilakukan isteri dan suami untuk mengembalikan sifat-sifat manja dan romantik isteri?
 
Rangsangan suami
 
Sebenarnya apakah yang paling diidamkan isteri selain harta melimpah, keluarga sihat, kerjaya cemerlang, suami penyayang dan kecantikan yang sempurna? Semua itu nikmat Allah SWT yang sifatnya tidak kekal, silaplah jika para isteri hanya bertumpu pada impian-impian tersebut tanpa rasa syukur. Jika isteri suka marah-marah itu suatu petanda kecil, kurangnya rasa syukur. Peranan suami sebagai pemimpin dalam rumah tangga bukan hanya menuntut untuk ditaati tetapi dia wajib membimbing isteri menjadi solehah.
 
Suami mesti seimbangkan keadaan, jika isteri marah tolong nasihatkan supaya bersabar. Jika isteri letih tolong bantu apa yang patut, jika isteri sedih suami sepatutnya temani dan tunjukkan rasa prihatin. Bukan sebaliknya, isteri dalam keadaan tak stabil, suami pula berperangai macam samseng. Isteri meletup suami pun nak terbakar sama, isteri letih suami cerewet tak bertimbang rasa.
 
Suami nak isteri romantik semestinya dia yang mulakan untuk merangsang suasana itu. Begitu juga jika isteri mahu suami prihatin, dia kena lebih memperhatikan dan melayan suami. Hubungan timbal balik, saling memberi dan menerima. Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT yang menyeru berbuat baik dalam setiap perhubungan sesama manusia:“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. (Surah Ali Imran ayat:159)
 
Muhasabah isteri
 
Setiap manusia rasa gelisah apabila telah melakukan dosa dan maksiat, begitu juga isteri. Jika jiwanya kacau dan perangainya tidak terkawal itu suatu petanda lemahnya hubungan dengan manusia dan Allah Taala. Sebagaimana yang diceritakan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
 
“Mintalah fatwa kepada hatimu sendiri. Kebaikan adalah apa yang kerananya jiwa dan hati menjadi tenteram. Dan dosa adalah apa yang mengusik jiwa dan meragukan hati, meskipun orang-orang memberikan fatwa kepadamu dan mereka membenarkannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Darimi)
 
Isteri yang rasa sensitif terhadap dosa akan sentiasa menyoal hatinya lebih daripada 100 kali sehari sebagaimana Rasulullah SAW menyuruh umatnya beristighfar paling kurang seratus kali sehari. Isteri akan cepat terasa gelisah jika dia berdosa pada suami dan anak-anak, kemudian dia bersedia untuk berubah dan bertaubat. Semua orang diuji, yang selamat hanya mereka yang bertenang, sabar dan memperbaiki kesilapannya. Setelah itu kita akan kembali romantik kepada pasangan dan lembut dalam perhubungan dengan manusia.
 
Dr. Haji Juanda Haji Jaya, MW.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan komen komen berguna shj. Tq.